Tuesday, February 07, 2012

RSVP

Posted by Mar at 8:31 AM 4 comments

Alkisahnya, kisah seperti ini terjadi 4 tahun lepas semasa majlis perkahwinan saya. Baru-baru ni makcik saya pun cerita perkara dan situasi yang lebih kurang sama. Saya, being a typical teacher, naluri nak menegur dan mendidik tu tetap terselit walau di mana pun. Sebagai peringatan kepada kita semua.

Perasan tak dalam sesetengah kad jemputan tak kira jemputan pekahwinan, kenduri, hari lahir dan sebagainya, kadang-kadang meminta kita memaklumkan kehadiran kepada tuan rumah. Bukanlah untuk menyusahkan tetamu tetapi sebagai persediaan kepada tuan rumah untuk menerima tetamu supaya tidak berlaku pembaziran atau tidak cukup makanan. Agar memudahkan lagi pihak tuan rumah berurusan dengan pihak katering.

RSVP adalah daripada perkataan Perancis "répondez, s'il vous plaît" yamg bermaksud "please reply". Jadi apabila telah dinyatakan dalam kad agar menjawab jemputan tersebut, maka wajarlah pihak penerima jemputan untuk menjawab. Kalau tidak menjawab, tuan rumah boleh menganggap anda tidak akan hadir.

Namun, apa yang menyedihkan adalah apabila
jemputan tidak berjawab langsung tapi alih-alih anda bawa 10 orang ke majlis tersebut? Lebih pelik apabila tuan rumah hanya menjemput anda suami/isteri sebaliknya yang datang adalah suami, isteri, anak, menantu dan cucu hingga penuh satu meja dengan kaum kerabat dia sahaja. Tuan rumah mungkin tak akan cakap apa-apa tapi hati tuan rumah pasti risau kalau tetamu lain yang dijemput dan mengikut protokol yang betul pula tak dapat tempat duduk. Kasihan kan pada tetamu yang tidak bersalah sedangkan tetamu yang tidak menyatakan kehadiran langsung tadi menguasai meja tanpa rasa bersalah.

Jadi ambil iktibar. RSVP untuk dijawab bukannya memandai-mandai sendiri.

Monday, February 06, 2012

Telekung Jalan

Posted by Mar at 8:16 AM 0 comments

Tergoda dengan telekung ini. Sebab utama adalah kerana ia kecil dan tidak mengambil ruang yang besar dalam handbag. Almaklumlah, handbag saya penuh dengan khazanah yang entah apa-apa. Jadi tak fikir banyak. Terus saja sambar. Apatah lagi dengan harga yang sangat murah. RM29 saja. Termasuk kos penghantaran. Kat mana lagi nak dapat telekung harga murah macam tu kan. Peluang yang ada perlu direbut segera. Bila dah dapat, gembira tak terkata.

Saya beli telekung ni di sini.

Friday, February 03, 2012

Pantang ada jualan promosi

Posted by Mar at 7:05 PM 0 comments

Nampak kat FB One Baby World semalam ada promosi jualan pakej cooler bag. Terus la teruja nak beli. Saya ni pantang kalau nampak promosi dan benda tu memang saya nak beli, maka wajiblah rembat kan. Selagi tak beli selagi tu jiwa tak tenteram. Hahaha.

Jadi petang tadi saya ajaklah suami pergi One Baby World kat Taman Permata. Hujan lebat pun tetap redah juga. Bila dah dapat beli haruslah hati berbunga riang. Hahaha.

Dalam pakej cooler bag tu ada,

1 x Autumnz Cooler Tote (harga asal RM46.90)
10 x Autumnz Breastmilk Storage Bottles (harga asal RM38.90)
3 pcs x Autumnz Reusable Ice Pack (harga asal RM23.00)
5 pcs x Autumnz Double Ziplock Storage Bag

Semua benda ni saya beli dengan harga promosi iaitu RM87.00. Saya telah berjimat sebanyak RM21.80.

Selagi boleh jimat kita jimat. Ye tak?
Published with Blogger-droid v1.7.4

Thursday, February 02, 2012

Homemade Quesadillas with Pico de Gallo (Mexican salsa)

Posted by Mar at 10:20 AM 4 comments

Saya suka makan benda seumpama ni. Tapi kalau beli memang harganya bikin gua bankrap kalau bedal hari-hari. Mahal, lepas tu tak puas makan pulak tu. Sedap memang sedap la. Memandangkan benda ni pun senang jer nak membuatnya. Baik la kita buat sendiri. Lagi puas makan. Lebih jimat.

Resepinya saya ambil dari sini.

Wednesday, February 01, 2012

Bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur

Posted by Mar at 10:50 AM 5 comments
Wajah terkini Tan Sri Dato' Elyas Omar di MHI TV3 pagi tadi.



Hari ni Hari Wilayah Persekutuan. Memandangkan saya bekerja dalam kawasan Kuala Lumpur (walaupun sebenarnya betul-betul di sempadan antara Kuala Lumpur dan negeri Selangor di mana saya boleh letak sebelah kaki di Kuala Lumpur dan sebelah kaki lagi di Selangor), maka, hari saya bercuti.

Pagi tadi saya menonton rancangan Malaysia Hari Ini. Ada disiarkan temubual dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur yang ketiga iaitu Tan Sri Dato' Elyas Omar. Satu-satunya Datuk Bandar Kuala Lumpur yang paling popular dan dikenali ramai.

Bak kata Mat Jan, "Ni la datuk bandar yg paling poular, semua org kenal. Sekarang kalau tanya sapa Datuk Bandar KL, sapa pun tak tau."

Tuesday, January 31, 2012

Susu Kambing

Posted by Mar at 6:04 PM 6 comments


Dulu waktu saya jadi guru pelatih, ada seorang cikgu senior ni selalu pesan pada saya. Mar kalau mengandung nanti, masa 8 bulan macam tu, amalkan minum susu kambing. Insyaallah, anak tak akan dapat kena demam kuning. Itu kata dia. Saya tak pernah tau pun. Dia cakap, Alhamdulillah dia amalkan macam tu untuk tiga orang anak dia dan dengan kuasa Allah anak-anak dia tak kena demam kuning (jaundis). Waktu tu saya tanya dia. Tak berbau ke minum susu kambing? Dia jawab, terpaksa la tahan.

Jadi, kini kandungan saya telah masuk 8 bulan. Saya masih ingat pesan dia dan saya mahu cuba amalkan. Bila tanya suami, nak minum susu kambing segar atau susu HiGoat? Dia mahu saya minum yang segar. Dia pun call la pembekal susu kambing yang pernah kami beli dulu. Call punya call, tak berjaya dihubungi. Mungkin dah tukar nombor atau dah tak jual lagi. Jadi, kami buat keputusan untuk minum susu HiGoat.

Baru beli semalam. Mula minum pagi tadi. Saya bercadang nak amalkan minum satu paket sehari. Mula-mula risau juga dengan bau susu ni. Susu kambing kan. Dalam fikiran saya, mesti bau kambing. Sebab saya bukan peminum susu, maka saya risau tak boleh telan susu ni. Sepanjang mengandung saya tak minum susu pun. Kalau minum pun, minum susu berperisa atau milkshake. Itu pun boleh dibilang dengan jari. Saya hanya mengharapkan pil kalsium yang Dr. Hamid bekalkan sepanjang check-up dengan dia. Alhamdulillah, setakat ni saya tak ada simptom kekurangan kalsium seperti sakit kaki, sakit pinggang, sakit gigi atau pun cramp kaki. Pernah la cramp tengah malam tapi tak selalu. Rasanya ada la 3 kali.

Kisah pagi tadi. Saya blend susu HiGoat dengan kurma. Lepas tu minum. Alhamdulillah. Tak ada bau. Tak ada rasa loya. Tak muntah. Rasanya sedap la jugak sebab dah campur dengan kurma kan. Jadi ala-ala kurma milkshake gitu. Kalau tambah ais mesti lagi sedap.

Sunday, January 29, 2012

Seafood Alfredo

Posted by Mar at 8:20 AM 2 comments
Entri ini khas untuk Yannie.

Alkisahnya saya teringin sangat nak makan spagetthi bila Kekda up status FB dia pasal teringin nak makan spagetthi hari Khamis lepas. Pengaruh FB, twitter dan blog sangat kuat ok. Saya suka spaghetti yang creamy. Lagi creamy lagi best. Bab menambahkan lemak memang kepakaran saya.

Spagetthi yang paling sedap dan lemak berkrim yang pernah saya makan dijual di Strawberry Fields Cafe. Seafood carbonara kalau tak silap saya nama menunya. Seafood dia letak sangat banyak. Kuah pun melimpah ruah. Memang puas la makan. Kali terakhir saya makan di situ rasanya 2 atau 3 tahun dulu.

Bila dah teringin nak makan sangat benda ni hari tu, terfikir juga nak ajak suami pergi sana. Tapi rasa macam tak berbaloi pula. Pergi jauh-jauh, makan sepinggan. Melibatkan kos yang tinggi tu. Minyak lagi.

Jadi saya buat keputusan untuk masak sendiri. Teringin punya pasal sanggup tu nak masak padahal dah 2 bulan rasanya saya tak masak hatta nak masak air pun kadang-kadang saya mengelat. Pergi la Jusco cari barang untuk masak.

Operasi memasaknya pagi semalam. Macam berjanji pulak dengan Yannie bila tengok dia up entri ni. Sebab dah janji dengan Yannie nak share tentang resepinya di blog, maka inilah spagetthi lemak berkrim saya. Tadaaaaa.


Resepinya saya ambil daripada sini. Terima kasih, Adieha atas resepi yang sedap itu.

Memang itu resepi Seafood Alfredo. Tapi hentam saja la kan. Janji ada rupa dan rasa carbonara. Janji lemak berkrim. Dan yang penting memuaskan nafsu tekak yang melampau ni.

Untuk lauk dalam sos tu, selain seafood saya letak juga isi ayam dan daging sebab suami tak boleh makan seafood sangat. Dia ada resdung. Tak senang duduk dia nanti.

Kepada Yannie, selamat mencuba!

Bagi saya dah cukup lemak berkrim dah. Rasanya faktor utama yang buat sos jadi pekat dan lemak berkrim ialah susu segar, whip cream, grated parmesan cheese dan tepung jagung.

Suami makan bertambah. Mak cakap rasa lebih kurang macam Strawberry Fields Cafe punya. Eheeeemmmm.

Saturday, January 28, 2012

Jam baru

Posted by Mar at 8:36 PM 0 comments

Jam baru untuk bilik si kecik. Mak beli untuk bilik cucu dia. Cantik. Harga tak tanya pun. Maklumlah orang yang beli. Cuba kalau suruh Mommy dia beli. Confirm Mommy dia cari yang paling murah. Kalau dah murah tu haruslah design yang biasa-biasa jer.

Dasar kedekut. Hahaha.
Published with Blogger-droid v1.7.4

32 minggu

Posted by Mar at 3:06 AM 6 comments

Sambungan daripada peristiwa di Dewan Bersalin Sabtu lepas. Rentetan kes itu, temujanji saya dipercepatkan ke petang semalam. Patutnya next check up saya 17 Februari. Tapi sebab kejadian Sabtu lepas, Dr. Roslan nak jumpa saya lagi hari ni untuk lihat keadaan saya dan baby.

Duduk jer Dr. Roslan terus tanya sama ada air ketuban ada keluar lagi atau tidak. Saya kata tiada. Saya beritahu dia saya jatuh di tangga hari Ahad tu. Suami boleh cakap pulak dengan Dr. Roslan yang saya ni Minah Jatuh. Gelak besar Dr. Roslan.

Dia pun scan tengok baby. Baby ok. Sekarang kepala dah pusing ke bawah. Tak melintang lagi dah. Dr. Roslan kata sebab jatuh hari tu kot terus dia berpusing. Ada hikmah la jatuh hari tu, kata nurse Dr. Roslan. Selalu kalau jatuh dia kata risau kalau uri jatuh atau turun ke bawah. Alhamdulillah uri saya masih di atas cuma ada sedikit luka/koyak tapi ia tidak membahayakan. Bab uri luka/koyak ni serius saya tak perasan Dr. Roslan ada cakap. Suami kata dia dengar Dr. Roslan cakap pasal tu.

BP hari ni tinggi. 145/78. Dr. Roslan kata still ok lagi sebab bawah masih normal. Selalu kalau bawah tinggi yang bahaya. Kalau atas tinggi biasanya dikaitkan dengan faktor luaran. Mungkin sebab punggung saya masih sakit la kot. Duduk bangun menahan sakit. Ada kemungkinan kata dia.

Dalam masa dua minggu, berat saya naik 500 gram. Berat baby pula sekarang 1.85 kilogram.

Kali ni Dr. Roslan bekalkan saya dengan Obimin. Temujanji seterusnya lagi 3 minggu. 17 Februari.

Moga Allah permudahkan segalanya.
Published with Blogger-droid v1.7.4

Friday, January 27, 2012

Hada Labo

Posted by Mar at 10:32 AM 9 comments

Orang lain dah berkurun tahu pasal produk yang meletup-letup dari Jepun ni. Saya baru tahu dua tiga hari lepas. Agak teruja dan terpengaruh dengar maklum balas baik daripada kawan-kawan di twitter.

Tapi dari sehari ke sehari tak berkesempatan nak pergi jeling kat kedai. Malam tadi kebetulan pergi Jusco AU2 beli barang dapur sikit. Menyinggah la sekejap pergi Watson cari Hada Labo ni. Tak ada pula kat Watson. Saya pergi Guardian kat sebelah. Yeayyy. Ada.

Saya jadi keliru dan pening nak ambil produk yang mana. Belek punya belek, saya ambil jer trial set dia. Harga RM34.90. Dalam tu ada moisturizing make-up remover, moisturizing face wash, moisturizing lotion dan moisturizing milk. Elok juga ambil trial set. Tengok dulu serasi ke tak dengan kulit. Kalau tak sesuai tak ada la rasa rugi sangat nanti kan.

Sekarang saya hanya guna pencuci muka Kose. Dah setahun guna. Boss saya yang cadangkan suruh guna sebab anak dia dulu banyak jerawat tapi lepas guna sabun Kose dah tak tumbuh lagi jerawat baru. Dari Jepun juga Kose ni. Kose serasi dengan kulit saya cuma parut-parut jerawat tetap berdegil nak duduk atas muka. Harga pun ok. Satu buku sabun tu saya potong empat boleh tahan 6 bulan. Harga sebuku RM75.

Nak cuba guna Hada Labo ni bukan niat nak bagi kulit licin, halus dan mulus sangat pun. Sebab sedar muka ni banyak sangat parut jerawat. Tapi kalau ya lagi bagus kan. Harapan saya supaya muka kurang sikit parut dan tak ada lagi tumbuh jerawat baru.

Kalau berkesan produk ni pada saya, saya review semula.
Published with Blogger-droid v1.7.4

Thursday, January 26, 2012

Perjalanan Mencabar

Posted by Mar at 4:43 PM 2 comments

Asalnya semalam nak buat Mykad struktur baharu tu. Pagi ada urusan di PNB. Lepas tu baru la pergi JPN. Mula-mula pergi JPN Taman Sri Rampai. Penuh dengan manusia yang beratur sampai ke luar. Tak turun daripada kereta pun. Lepas tu terjah pula ke JPN Taman Melawati. Malangnya, Mykad struktur baharu kat situ akan mula diproses 15 Februari. Jadi, misi buat Mykad struktur baharu semalam adalah tidak berjaya. Azam malam tadi adalah untuk bangun pagi-pagi dan terjah JPN Maju Junction hari ni.

Misi bersambung hari ini. Seawal 7.30 pagi dah terpacak di JPN Maju Junction tapi pintu masih tutup. Kat pintu tulis buka jam 7.30 pagi. Bila tengok di laman web JPN, kaunter buka jam 8.00 pagi. Jadi kami terus menunggu dengan sabar. Beberapa keluarga lain juga muncul menunggu seperti kami.

8.00 pagi. Pintu masih tutup.

8.20 pagi. Pintu masih tutup.

8.30 pagi. Pintu masih tutup.

8.45 pagi. Seorang daripada abang yang menunggu call JPN. Selesai buat panggilan, dia beritahu bahawa JPN Maju Junction rupanya dah tutup. Alaaahaaaiiii. Kenapa la tak letak apa-apa notis beritahu dah pindah kat depan pintu tu? Kan dah menyusahkan ramai orang ni. 1 jam lebih dah terbuang menunggu benda yang sia-sia.

Ikutkan hati suami, dia nak balik terus. Buat lain kali saja. Tapi saya degil nak juga buat sebab lepas ni mana ada cuti panjang macam ni lagi. Nanti dah ada baby kasihan nak kena bawa dia sekali kat tempat orang ramai macam ni. Sambil-sambil fikir dalam kereta nak buat atau tangguh kemudian, saya pun cari maklumat tempat baru JPN Maju Junction tu. Rupanya dah pindah ke Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Jalan Sri Hartamas 1, Off Jalan Dutamas 1.

Suami tanya. Nak pergi ke? Saya kan degil. Kalau nekad buat satu benda tu mesti nak buat waktu tu juga. Jadi, pergilah kami ke sana dengan bantuan maklumat dari sini. Terima kasih kepada tuan punya blog. Kerana maklumat anda kami tak sesat.

Bila dah sampai, nak cari parking satu hal la pulak. Suami dah nak ajak balik dah sebab dia kata susah nak cari parking. Lepas tu katanya kat dalam tak tahu lagi orang ramainya macam mana. Tapi dia ikutkan la juga kepala bini dia yang degil ni. Pusing dua kali baru dapat parking. Itu pun bukan kat dalam. Tapi kat luar, tepi jalan. Lepas tu menapak la kami naik ke atas.

Sampai di kaunter terus ambil nombor. Kami dapat nombor 2117 dan 2118. Nombor di skrin waktu tu 2080. Tak tunggu lama pun. Sekejap jer sebab kaunter banyak. Orang pun tak seramai macam di Sri Rampai. Masih ada tempat untuk duduk. Masih boleh bernafas dengan tenang.

10 hari lagi siap la Mykad struktur baharu kami. Bayaran RM10. Tapi kena ambil di Putrajaya. Tak kisah la. Janji dah buat kan. Tunggu lama-lama pun lambat-laun kena tukar Mykad baru juga. Lagi pun masa ambil nanti boleh wakilkan pada suami untuk ambil.

Ok. sekarang misi sudah berjaya walaupun agak mencabar dan berliku.

Terigau-igau

Posted by Mar at 5:59 AM 4 comments
Suami dah mula mengigau-ngigau. Saya tak sedar pun celah mananya dia mengigau. Saya kalau tidur memang tak sedar apa.

Suami cerita baru-baru ni dia mimpi dan mengigau saya sakit nak bersalin. Dia panik. Nak panggil Mak, takut Mak terkejut pulak. Jadi, dia terus ambil telefon nak call ambulans. Tapi tak sempat dail nombor ambulans, dia tersedar yang dia mengigau sebab tengok saya masih syok tidur macam tak ada apa-apa jadi.

Bila dia cerita, saya bantai gelak. Kelakar ok. Kenapa saya nak bersalin sampai kena call ambulans? Tak boleh ke nak hantar sendiri? Kalau betullah dia dail nombor ambulans dan ambulans datang hari tu, habislah kena hamun dengan pemandu ambulans tu.

Sekarang saya keliru. Siapa yang nervous nak bersalin sebenarnya ni?

Wednesday, January 25, 2012

Ini sedap

Posted by Mar at 7:28 PM 0 comments

Sangat. Sangat sedap. Kalau ikutkan hati nak telan berpaket-paket sekali hadap. Tapi bawa-bawalah bertenang ya. Esok, lusa, tulat masih ada.

Bila lapar, tekak teringin macam-macam. Lepas tu hujan pulak. Lagi la sadis. Nafsu... Nafsu... Please go away. Ok. Jom salahkan hormon.
Published with Blogger-droid v1.7.4

Tuesday, January 24, 2012

Sudah rasmi

Posted by Mar at 10:51 AM 13 comments

Gara-gara jatuh kat tangga Ahad hari tu, punggung saya sakit. Bila dah duduk seksa nak bangun. Tak boleh duduk lama-lama sebab bila tulang punggung tu berlaga dengan lantai, kerusi hatta tilam sekali pun memang sakit. Tidur pun mengiring jer. Tapi bila berdiri atau duduk tak kena bahagian tulang tu ok jer rasa. Cuma kalau dah duduk, nak bangun tu ada seksa sikit la.

Cuti-cuti ni saya dok menyiapkan banyak kerja. Minit mesyuarat, carta organisasi, gubal kertas soalan dan tanda buku la semestinya. Takkan nak buat kerja berdiri kan. Nak duduk lama-lama sakit.

Jadi, nak tak nak terpaksalah rasmikan nursing pillow ni buat alas duduk sebab kan ada lubang tengah tu. Jadi punggung terapung-apung la. Tak ada la sakit. Lepas duduk nak berdiri tu tetap la sakit lagi. Seksa jugak sakit punggung ni. Harap-harap mula sekolah nanti tak sakit dah. Masak saya kalau tak baik-baik lagi bila buka sekolah nanti.

Sunday, January 22, 2012

Dugaan dan cabaran

Posted by Mar at 2:32 PM 4 comments
Mungkin Allah nak uji saya. Macam-macam jadi dua tiga hari ni.

Rentetan kisah semalam, saya pergi hospital lagi pagi tadi untuk suntikan ubat dos kedua.

Selesai suntik, saya dan suami balik rumah. Saya tidur sebab mengantuk sangat. Pagi-pagi dah bangun kan.

Bangun tidur, saya pergi tandas nak kencing. Selesai kencing, saya turun tangga sebab nak hidupkan mesin basuh kat bawah. Saya tak tahu tukang cuci Mak saya baru lepas mop tangga. Terduduk saya kat tangga tadi. Sedih sangat. Rasa nak nangis. Kenapalah clumsy sangat saya ni. Risau sangat.

Lepas tu, saya duduk dan baring kat sofa ruang tamu. Selepas dua jam. Tak ada air keluar. Tak ada darah keluar. Baby masih bergerak. Kencing masih kerap.

Suami tak ada di rumah sekarang. Saya tak call pun beritahu. Nanti dia balik baru nak beritahu. So apa-apa tunggu arahan suami la sama ada nak pergi hospital ke tak.

Baby, please be strong. Mommy takut sangat ni. Terus gerak-gerak yer kat dalam.

Doakan kami ya.

Ya Allah. Engkau lindungilah anakku semoga selamat semuanya.
Published with Blogger-droid v1.7.4

Air kencing atau air ketuban?

Posted by Mar at 1:50 AM 5 comments



Pukul 5.00 pagi tadi. Sedar-sedar cadar dan kaftan basah. Buat tak tau. Cuba berlagak tenang. Terlepas kencing atas tilam kot. Bergegas pergi tandas sebab asalnya tersedar sebab nak kencing. Masuk tandas terus kencing. Kencing warna kuning pekat warna ala ala teh o cair.

Masuk bilik. Buka kaftan. Cium kaftan dan cadar. Tak ada bau hancing. Tapi basah. Jernih. Saya keliru. Air ketuban ke air kencing?

Saya kejut suami. Suami mamai. Saya suruh dia cium kaftan dan cadar tapi dia tak mahu. Dia suruh saya tanya Mak. Saya turun kejut Mak. Mak pun mamai tapi jawab tak ada bau.

Lepas tu saya dan suami gigih cari maklumat tentang air ketuban kat Google. Akhirnya, saya dan suami ambil keputusan untuk ke hospital supaya hati lebih tenteram dan tak tertanya-tanya.

Tapi tak ada la tergesa-gesa terus pergi. Pergi mandi dulu. Solat Subuh. Mengaji satu surah. Suami sambung tidur kejap. Saya menghadap komputer menyiapkan minit mesyuarat sekolah (sempat lagi tuuu... sangat dedikasi ok).

7.45 pagi kami keluar rumah. Breakfast di Desa Pandan. Lepas tu pergi Pudu ambil barang customer suami. Dah selesai baru la bertolak ke Hospital Selayang.

Sampai Hospital Selayang dalam pukul 10.00 pagi. Terus ke kaunter pertanyaan Dewan Bersalin. Cerita serba sikit sambil nurse tu tengok buku merah. Kemudian dia suruh naik ke Dewan Bersalin di Tingkat 5. Sampai kaunter Dewan Bersalin, bagi buku merah. Masuk dalam bilik, nurse mengadap saya untuk check BP. Mencanak-canak naik sampai atas jadi 180. Susah hati la kot pasal si kecik kat dalam ni. Tapi lepas nurse tu sembang-sembang mesra, suruh saya tarik nafas dalam-dalam, barulah BP turun jadi 128/68. Alhamdulillah.

Doktor pelatih tanya macam-macam soalan. Dia sangat excited nak tahu sejarah saya dengan Prof. Dato' Dr. Hamid Arshat. Dia tak berani usik saya apa-apa sebab saya pesakit FPP Dr. Roslan. Dia kena rujuk pada MO. MO pulak kena call rujuk pada Dr. Roslan sebab Dr. Roslan ada kerja kat bawah, tak ada kat wad.

Lepas tu MO nama Dr. Jane masuk. Dia pegang dan tekan sikit perut untuk kenalpasti kedudukan baby. Kemudian, dia scan tengok baby. Baby dah tak melintang tapi songsang. Kepala kat atas, kaki kat bawah. Kejap-kejap dia keluar call beritahu Dr. Roslan. Dr. Roslan suruh dia check kandungan air ketuban. Bila saya tanya, dia kata masih banyak. Lepas tu dia masuk satu alat di kemaluan saya. Untuk check apa saya tak pasti. Tapi agak sakit la masa dia masukkan tu. Dah masukkan alat tu, dia suruh saya batuk dua tiga kali.

Lepas tu dia keluar lagi call Dr. Roslan. Bila dia masuk semula, dia kata kejap lagi Dr. Roslan naik. Mungkin saya akan kena tahan di wad untuk masukkan antibiotik.

Bila Dr. Roslan sampai, dia scan saya lagi sekali. Dia pun cakap air ketuban banyak lagi. Dia buat keputusan suntik ubat untuk matangkan paru-paru baby sebagai persediaan kalau-kalau baby keluar awal. Dia suruh masuk wad untuk observation tapi saya kata kalau observe sendiri kat rumah tak boleh ke? Dia kata boleh tapi pagi esoknya kena datang untuk suntik lagi sekali. Lepas tu kena jumpa dia lagi hari Jumaat di klinik pakar. Saya pun setuju.

Lepas nurse suntik kat vontots, kami pun balik. Kena suntik tu sakit jugak. Tapi sakit kejap jer.

Air kencing ke air ketuban? Wallahualam. Yang pasti saya senang hati sikit sebab dah pergi hospital jumpa doktor. Harap-harap si kecik saya ni selamat kat dalam.

Doakan kami ya.
Published with Blogger-droid v1.7.4

Wednesday, January 18, 2012

Pembaziran atau pelaburan?

Posted by Mar at 5:35 PM 4 comments

Bila saya kata saya beli breastpump Medela Freestyle, saya tahu ada yang bersuara sinis kata ia satu pembaziran. Saya anggap ini pelaburan. Saya lebih rela keluarkan duit untuk breastpump ini daripada keluar duit beribu-ribu untuk stroller. Breastpump tolong saya keluarkan susu untuk kenyangkan perut anak saya. Stroller ribu-ribu untuk apa? Saya tak beli stroller pun. Tengok keadaan. Kalau betul-betul perlu baru saya beli. Sekarang saya masih rasa belum perlu.

Ya, saya emosi sebab ada orang pertikaikan keputusan saya untuk beli breastpump ini. Memang saya akui gigil untuk keluarkan duit sebanyak itu untuk ini. Tapi saya mahu fikir positif. Saya beli barang mahal, sudah pasti saya mesti usaha juga agar pembelian saya berbaloi. Kalau saya culas dan malas, memang bodohlah saya.

Saya bertekad untuk breastfeed anak saya nanti. Insyaallah. Moga Allah permudahkan dan makbulkan hasrat saya. Walaupun breastpump ini hanya membantu, sudah pastilah saya mahu sesuatu bantuan yang berbaloi dan memberi keselesaan kepada saya.

Ini pendapat, pendirian, keinginan dan hasrat saya. Saya tidak minta duit daripada orang. Jadi, tolong jangan pertikaikan apa yang saya mahu. Sila hormati keputusan saya kerana saya tak pernah masuk campur urusan anda.
Published with Blogger-droid v1.7.4

Sunday, January 15, 2012

30 minggu

Posted by Mar at 9:01 AM 7 comments

Sekarang saya dah tak makan Aldomet. Sebulan saja saya makan Aldomet masa dengan Dr. Hamid. Lepas tu dah tak perlu makan lagi. Tanpa Aldomet, tekanan darah saya dah makin ok. Harap-harap ok selamanya. Jangan tinggi-tinggi la ok.

Keputusan untuk RBS (Random Blood Test) saya, kandungan gula 7.4 dan Hb 11.2. Saya anggap semua ok la kot sebab Dr. Roslan tak cakap apa-apa dan tak ada beri ubat pun.

Kedudukan baby melintang. Uri di atas. Jadi, Dr. Roslan kata kemungkinan pendarahan awal tu tiada sebab uri di atas. Tapi disebabkan kedudukan melintang ini mungkin boleh menyebabkan air ketuban pecah awal. Kalau air ketuban pecah, Dr. Roslan minta kami segera ke wad bersalin.

Jantina. Masih XX. Hamburger, kata nurse yang bersama waktu tu.

Risau juga baby duduk melintang ni. Lama dah rasanya dia stay dengan kedudukan macam tu. Sejak dengan Dr. Hamid lagi. Banyak sangat ke lemak kat dalam tu sampai susah sangat nak berpusing? Tapi Dr. Roslan dan nurse tu kata masih ada masa lagi kot untuk dia berpusing. Harap-harap si dia berpusing bila tiba waktu dan ketikanya. Amin.

Saturday, January 14, 2012

Terukir di Bintang

Posted by Mar at 1:08 AM 0 comments

Lagu yang menjadi kegilaan saya sekarang. Bila dengar lagu ni terus rasa jiwang sakan. Sangat menggambarkan perasaan saya terhadap Sang Suami.

Sayang. I love you.

Cinta sampai mati.

Insyaallah.
Published with Blogger-droid v1.7.4

Friday, January 13, 2012

Lega tak?

Posted by Mar at 1:16 PM 3 comments

Legaaaaa sangat.

Lepas ni boleh minum ais secara bermaharajalela. Ais kosong la tapi. Kalau air sirap hari-hari memang cari pasal la kan.

Masa dalam pantang dan lepas pantang, ais adalah big no-no. Jadi, sila nikmati sepuasnya sebelum bersalin ya.
Published with Blogger-droid v1.7.4

Thursday, January 12, 2012

Asam Pedas Terbaik di Kuala Lumpur

Posted by Mar at 3:33 PM 4 comments

Pada tekak saya la kan. Tekak orang lain saya tak tau. Saya paling suka asam pedas yang kuahnya pekat. Kuah jenis cair-cair tu saya tak layan. Jadi asam pedas ini memang menepati citarasa saya. Asam Pedas Claypot di Wangsa Melawati.

Kuah pekat.
Pedas melekat.
Sedap sangat.

Wednesday, January 11, 2012

"Redha" atau "Reda" ?

Posted by Mar at 3:37 PM 13 comments

Saya serabut dan sakit hati sebenarnya. Ramai yang salah faham ejaan "redha" yang sebenar. Sebenarnya "redha" yang kita sebut tu sepatutnya dieja sebagai "reda" bukan "redha". Apabila pihak surat khabar menulis "redha" dengan ejaan "reda", maka ramailah yang bersuara mengatakan ejaan oleh si wartawan salah. Padahal wartawan tu eja dengan betul. Kasihan sang wartawan itu. Buat kerja betul dikata salah.

Masih tak faham?

Reda ada dua sebutan yang berbeza yang membawa dua maksud yang berlainan.

Contoh pertama:
Hujan telah reda (teduh).

Contoh untuk maksud lain:
Saya reda (bersedia dgn ikhlas hati) dengan ketentuan ini.


Jadi tolonglah jangan guna ejaan "redha" lagi. Nanti kasihan anak murid saya. Asyik keliru saja.

Saturday, January 07, 2012

Shopping sakan di Sogo

Posted by Mar at 5:35 PM 18 comments

Habuan yang kami dapat selepas shopping sakan di Sogo.

Tak rancang pun nak shopping kat Sogo sebab selalunya kalau ajak Encik Suami pergi tempat yang ramai orang mesti dia tak nak. Tapi entah angin mana datang, kali ni dia setuju pula. Jadi pergi la kami ke Sogo. Ada sale untuk S-card member.

Sampai-sampai terus renew kad dulu. Kad dah expired sejak 2009. Hahaha. Renew card, RM12. Ada kad, baru boleh masuk Sogo.

Masuk jer terus terjah bahagian baby. Mula-mula ingat nak tengok jer. Sekali nampak Little Bean Warmer + Sterilizer harga RM139.93. Paling murah pernah saya tengok. Tempat lain tak dapat harga ni. Kat Midvalley punya Baby Expo pun RM150. Terus ambil keputusan untuk beli. Kemudian Encik Suami terus-terusan hasut saya untuk lengkapkan semua pembelian barang-barang yang tak beli lagi di Sogo terus. Alasan dia sebab boleh kumpul point dan dapat voucher. Maka terjebak la saya membeli segala barang daripada yang mahal sampai yang murah kat sini. Bila fikir balik memang berbaloi. Sangat puas hati.

Nak tau apa saya beli? Ok. Jom tengok senarai. Termengah-mengah laki bini ni mengangkut barang dari Sogo ke kereta.

Little Bean Warmer + Sterilizer RM139.93
Little Bean Home & Car Bottle Warmer RM 69.93
(Beli dua barang ni dapat percuma Little Bean Duo Breeze Air Purifier + Hand-held Vacuum Cleaner)

Medela Freestyle Breastpump RM1999
(Beli breastpump dapat percuma Beaba Infrared Thermometer)

Set mandian-Pureen Travel Pack RM15.30
2 pek Pureen Baby Wipes RM10.60
Bumble Bee Waterproof Bedpad RM39.13
Anakku Cotton Balls RM6.90
Baby Kiko Manicure Set RM5.59
Baby Kiko Nasal Aspirator RM4.78
NUK 2 in 1 Bottle Brush RM16.03
Pureen Baby Oil RM7.90

JUMLAH RM2315.09

Paling best sebab dapat voucher bernilai RM230. Boleh guna dari 8 Januari 2012 hingga 8 April 2012.
Published with Blogger-droid v1.7.4

Friday, January 06, 2012

Terlajak perahu boleh diundur

Posted by Mar at 11:46 PM 2 comments

Dah 7 bulan barulah terhegeh-hegeh nak sapu. Itu pun kadang-kadang lupa nak sapu.

Sudah terlambat atau masih sempat?

Belasah la, labuuuu.

Tak hilang kalu, sila pasrah dan berserah.
Published with Blogger-droid v1.7.4

Tuesday, January 03, 2012

Terpengaruh

Posted by Mar at 12:54 PM 3 comments

Sana sini orang bercerita pasal Garrett Popcorn ni. Mak buyung ni pun teringin la jugak. Memang melampau punya overrated. Encik Suami memang bising la. Apa jadahnya popcorn mahal benar.

Nak puaskan hati sendiri, maka beli la juga. Berbaloi la. Caramel penuh salut popcorn. Kacang seketul seketul.

Memang sedap.
Tapi kalau hari-hari, bankrap.
Published with Blogger-droid v1.7.4

Monday, January 02, 2012

Beg hospital

Posted by Mar at 1:09 PM 4 comments

Orang cakap beg nak kena ready bila dah masuk 7 bulan. Siap dah begnya semalam. Yang merah beg saya. Yang hijau beg baby. Ada barang kecil-kecil belum masuk lagi macam selipar dan peralatan mandi.

Besar kan beg saya. Sebab saya sumbat semua dalam tu. Tak mau banyak-banyak beg.

Suami kata over. Macam nak pergi bercuti kat hospital.

Gasak la, labuuuu.
Published with Blogger-droid v1.7.4

Sunday, January 01, 2012

Ada ke patut?

Posted by Mar at 9:56 PM 10 comments

Saya batuk dah seminggu. Batuk paling teruk pernah saya alami. Batuk tahap sampai terkencing-kencing. Batuk sampai tahap muntah-muntah. Sakit tekak sampai tahap telan air liur macam telan duri. Serius. Sumpah. Tak tipu.

Asal baring jer batuk. Asal baring jer batuk. Seminggu saya tidur-tidur ayam. Tidur 15 minit, batuk. Tidur 15 minit, berkejar pergi bilik air. Kan batuk saya sampai tahap terkencing-kencing dan termuntah-muntah. Moody dibuatnya seminggu ni. Sebab tak puas tidur malam.

Dalam dok batuk-batuk ni rasa bertanggungjawab pulak untuk tak nak menyebarkan virus kat orang lain. Mencari la saya mask untuk tutup mulut dan hidung. Tak mau yang jenis sangkut kat telinga. Nak yang jenis ikat sebab tak mau ganggu keayuan tudung. Kegedikan terserlah di situ.

Dua tiga hari cari mask jenis ikat tak jumpa-jumpa. Dari Selayang cari sampai Taman Permata. Sebab malas nak melayan kerenah bini agaknya, suami beri cadangan suruh guna barut baby sebagai mask. Ada ke patut? Dia kata cantik apa barut tu. Siap bunga-bunga lagi. Merepek kan dia. Nasib baik saya masih waras.
Published with Blogger-droid v1.7.4

Wednesday, December 28, 2011

Baik macam Dr. Hamid juga

Posted by Mar at 11:08 PM 8 comments

Pagi tadi. Kali pertama check up di Hospital Selayang. Kali pertama jumpa gynae baru. Bukan lagi Dr. Hamid Arshat.

Saya dan suami buat keputusan untuk bersalin di Hospital Selayang. Kami memilih untuk bersalin di bawah skim Full Paying Patient (FPP). Bermaksud segala kos perubatan dibayar sendiri, bukan subsidi kerajaan. Sebab utama kerana saya mahu bersalin di hospital kerajaan dan dalam masa yang sama mahu suami menemani saya sepanjang masa di wad. Kalau bersalin di hospital kerajaan lain, suami tidak dibenarkan berada di wad pada waktu malam. Oh, tidak. Saya tak sanggup. Saya yang manja dan mengada-ngada ni perlukan suami sebagai tempat untuk merengek, menangis dan sebagainya. Hospital Putrajaya pun ada skim ini tapi lagi lagi la jauh dari rumah saya. Selayang dekat sikit.

Sebelum ke Hospital Selayang, suami dah call bertanya tentang prosedur pendaftaran. Tak perlu buat temujanji. Terus saja datang pada hari Isnin atau Rabu.

Kami sampai lebih kurang pukul 8.00 pagi. Terus diberi penerangan dan mendaftar di kaunter FPP. Kami diminta memilih pakar gynae yang diingini. Dr. Roslan, Dr. Param, Dr. Philip, Dr. Arifah atau Dr. Yu. Sebelum tu memang dah survey kat internet. Ramai yang kata Dr. Roslan paling best. Jadi, kami berdua sepakat memilih Dr. Roslan sebagai gynae baru saya. Kemudian, perlu isi beberapa borang dan buku merah rekod kesihatan ibu.

Jururawat di kaunter terus menghubungi Dr. Roslan. Katanya, Dr. Roslan boleh berjumpa kami pada pukul 10.00 pagi sebab waktu itu dia sedang bertugas di wad. Memandangkan memang hari ini dikhaskan untuk berada di Hospital Selayang, jadi kami setuju untuk tunggu. Lepaklah kami di kafe hospital.

Pukul 9.25 pagi, saya dapat panggilan daripada jururawat tadi. Dr. Roslan sudah ada katanya. Kembali ke kaunter FPP tadi, perlu serahkan kad pengenalan dan bayaran RM110. RM100 untuk consultation fee dan RM10 untuk pendaftaran.

Seterusnya, check air kencing, timbang dan check bp. Kemudian, terus berjumpa dengan Dr. Roslan. Saya beri dia laporan perubatan daripada Dr. Hamid. Dia tanya saya beberapa soalan. Lepas tu saya diminta baring untuk scan. So far, baby ok. Masih girl :-)

Memandangkan parents saya ada diabetes, doktor suruh check darah. Random test saja bukan MGTT sebab saya dah minum air mangga di kafe. Kalau result lebih daripada 8, kena repeat dengan MGTT. Result tak tau lagi.

Lepas proses ambil darah, terus ke kaunter ubat. Next appoinment lagi 2 minggu. Pukul 10.30 pagi, selesai segala urusan. Tak payah jenuh menunggu. Semuanya cepat. Sediakan saja duitnya.

So far, saya selesa dengan Dr. Roslan. Nampak dia jenis relax, cool dan mesra. Baik macam Dr. Hamid juga :-)
Published with Blogger-droid v1.7.4

Monday, December 19, 2011

Sensitif dan meluat

Posted by Mar at 6:28 PM 3 comments
Saya menyampah dan meluat betul dengan kata-kata untuk menakutkan yang kononnya nasihat (tidak diminta) daripada golongan 'kakak-kakak' yang kononnya berpengalaman dalam hal ehwal mengandung dan beranak ni.

Bukanlah saya ni degil atau tak mahu dengar nasihat. Kalau betul caranya memang saya dengar dan ikut. Tapi kalau gayanya lebih kepada menakut-nakutkan saya, apa faedahnya?

Tak payah takut-takutkan orang boleh tak? Doa yang baik-baik kan lebih elok.
Published with Blogger-droid v1.7.4

Sunday, December 18, 2011

Sweet Couple

Posted by Mar at 9:45 PM 0 comments


Cantik kan pengantin dua orang ni. Sama cantik. Sama padan. Kacak dan cantik.


Pengantin lelaki ialah bekas rakan sekerja suami. Pengantin perempuan ialah DJ Era FM.


Tahniah dan Selamat Pengantin Baru, Aril dan Ira.

Saturday, December 17, 2011

Pasrah

Posted by Mar at 11:42 AM 5 comments


Lengan dan pipi lebih berlumba-lumba naik daripada perut. Perut tak adalah besar mana tapi tang lengan dan pipi, ya ampuuuuuun.


Tak. Tak merungut.


Saya pasrah.


Tunggulah dalam patang nanti. Cheeewwaahhh. Berangan.

Friday, December 16, 2011

Si dia

Posted by Mar at 7:14 AM 2 comments

Si dia sudah kembali.
Hatiku berbunga kembali.

Sekarang nak drive pun takut-takut.
Takut kereta cedera.
Hahaha.
Published with Blogger-droid v1.7.4

Wednesday, December 14, 2011

Bukan cuti biasa

Posted by Mar at 5:49 PM 2 comments

Nama jer cuti sekolah. Yang cutinya budak sekolah. Cikgunya tetap kena datang sekolah.

Dah dua minggu saya ulang-alik ke sekolah menyiapkan kerja-kerja sebagai persediaan untuk menghadapi tahun 2012.

Masih tak siap lagi.

Tapi bahu dah sakit. Pinggang dah tegang. Ada sesiapa yang baik hati nak tolong picit bahu?
Published with Blogger-droid v1.7.4

Tuesday, December 13, 2011

Tak boleh sorok dah

Posted by Mar at 7:56 AM 4 comments

Mak cik saya tegur. Ibu jari kaki pun dah tak nampak dah. Saya bantai jawab,"Nak cukur *tuuutt* pun tak nampak dah." Keji tak? Hahaha.

Si kecil dah pandai main kasar dah. Selalu lembut jer dia geletek-geletek perut dan pundi kencing. Semalam petang, bergegar perut dikerjakannya. Love you, sayang.
Published with Blogger-droid v1.7.4

Monday, December 12, 2011

Mood kerja ke laut

Posted by Mar at 4:26 PM 2 comments

Sejak kebelakangan ni laptop saya buat hal. Bila cuba on akan keluar error message macam ni. Kalau nasib baik, dapat la guna sekejap. Nasib tak baik, akan off sendiri. Bila on akan jadi balik penyakit yang sama.

Fikir beribu-ribu kali ni nak beli baru ke tak.

Bila laptop buat hal macam ni, mood kerja saya pun ke laut la jawabnya.
Published with Blogger-droid v1.7.4

Sunday, December 11, 2011

Masuk ICU

Posted by Mar at 3:11 PM 0 comments






'Dia' masuk ICU.










Seminggu.










Saya sedih.










Saya rindu.










Cepat sembuh dan sihat ya.

Saturday, December 10, 2011

Tutti Fruitti ~ 50% discount.

Posted by Mar at 1:54 PM 0 comments

Tutti Fruitti baru buka di Ampang Jaya. Dekat dengan International School dan SPCA. Sederet dengan 7-eleven.

Tak menyempat-nyempat terjah sebab nak kejarkan 50% discount. 2 hari jer diskaunnya. 10 dan 11 Disember 2011. Hari dan esok.

Hari ni dan esok jer la kalau nak sumbat penuh-penuh cup tu dengan froyo kan. Kalau hari lain, hazab nak membayarnya.
Published with Blogger-droid v1.7.4

Friday, December 09, 2011

Tulisan

Posted by Mar at 7:39 PM 0 comments

Tulisan saya masa darjah 3. Masa tu tahun 1990. Cantik tak?
Published with Blogger-droid v1.7.4

Thursday, December 08, 2011

Selamat tinggal, Dr. Hamid Arshat

Posted by Mar at 11:13 AM 5 comments

Panjang umur kita jumpa lagi. Sobs.


Husband dah call Hospital Selayang. Boleh datang setiap Isnin atau Rabu untuk pendaftaran bersalin dan check-up. Bayaran RM10 untuk pendaftaran, RM100 untuk consultation doktor. Ubat-ubat ada caj lain ikut jenis ubat. Harga wad ikut jenis bilik.
Published with Blogger-droid v1.7.4

Thursday, December 01, 2011

Check-up terakhir

Posted by Mar at 2:02 PM 5 comments


23 minggu.

Hari ini check-up terakhir dengan Prof. Dato' Dr. Hamid Arshat. Sedih rasa nak tinggalkan dia.

Dia tanya dah pasti ke nak bersalin di mana. Bila kami kata sudah, dia pun beritahu, jangan risau. Dia akan sediakan laporan perubatan untuk dibawa ke hospital nanti. Dia pesan, kalau ada apa-apa dan perlukan nasihat dia, beritahu saja bila-bila dia akan tolong. Serius sedih gila masa ni. Rasa macam nak nangis.

Dia dah macam bapa sendiri. Ya la kan. Daripada kosong terpinga-pinga dengan masalah kesuburan, tak mengandung walaupun dah 3 tahun kahwin masa jumpa dia sampailah dah mengandung boyot macam ni, tiba-tiba terpaksa berpisah dengan dia. Memang sedikit terkesan di hati apatah lagi bila dia cakap, apa-apa masalah nanti beritahu jer. Bila-bila, insyaallah dia akan tolong. Sebak ok.

Minggu depan laporan perubatan saya, dia akan siapkan dan keluarkan. Selepas itu, saya akan buat temujanji dengan Hospital Selayang. Check-up seterusnya adalah di Hospital Selayang. Insyaallah, mungkin akan bersalin di sana juga. Kalau bukan Selayang pun mana-mana hospital kerajaan la. Yang pasti, Hospital Selayang adalah pilihan utama.

Tak lama dah lagi. Takut. Berdebar. Macam-macam. Semoga segalanya dipermudahkan oleh Allah Yang Maha Berkuasa.
Published with Blogger-droid v1.7.4

Tuesday, November 29, 2011

Risau, seram dan macam-macam

Posted by Mar at 10:57 PM 0 comments
Jarang saya cerita tentang susah hati saya. Kesedihan saya. Kerisauan saya. Masalah saya. Semua tu bersilih-ganti dalam fikiran saya.

Tentang peribadi saya. Keadaan suami saya. Kesihatan saya. High bp yang merisaukan. Kesihatan dan keadaan si kecil. Macam-macam la. Kadang-kadang saya rasa tak tertanggung. Tangisan saja jadi teman walau saya tahu tak elok untuk si kecil di dalam ini. Namun apalah daya saya. Hanya tangisan mampu meredakan kekacauan jiwa saya.

Sebagai manusia yang lemah pastilah kita diuji dengan pelbagai perkara. Ada kelebihan. Ada kekurangan. Kita tidak mampu untuk memiliki kesemuanya. Namun pastinya kita mesti bersyukur dengan nikmat yang ada. Kita mungkin kurang di sini tetapi lebih di sana. Allah Maha Adil.

Sebab itulah saya cuba mengabaikan segala kesedihan dan mensyukuri segala kegembiraan yang melingkari kehidupan saya.

Paling merisaukan adalah keadaan si kecil di dalam ini. Sihatkah dia? Sempurnakah dia? Saya khuatir. Namun, jika difikirkan kembali, mengapa mesti saya risau tentang perkara yang di bawah ketentuan Allah? Walau apa pun yang berlaku, semua kan kuasa Allah.

Oleh itu, saya hanya mahu menikmati dan menghargai segala nikmat yang Allah kurniakan pada saya ketika ini. Apa yang akan terjadi akan datang bukan kuasa saya tetapi kuasa Allah. Semoga saya tabah dan kuat menghadapi hari ini dan hari-hari akan datang.

Usaha. Doa. Tawakal.
Published with Blogger-droid v1.7.4

Seram

Posted by Mar at 8:53 PM 1 comments

Sejak dua menjak ni rajin juga window shopping. Saja jalan tengok barang baby. Tinjau-tinjau kat mana jual murah.

Petang tadi singgah Fabulous Mom kat tepi MRR2 Hulu Kelang. Ramah pulak sales assistant dia. Dia tanya saya, "Pregnant ke? Dah berapa bulan?" Bila saya cakap nak masuk 6 bulan, dia agak terkejut.

Saya tak salahkan dia. Memang tak ketara pun kebuncitan saya ni. Buncit lemak memang sejak azali. Jadi, pregnant tak pregnant sama jer. Sekarang pun masih sarung jeans lama dan t-shirt longgar biasa jer kalau keluar.

Yang buat saya seram, dia psiko saya. Dia kata, sekarang dah boleh dah beli barang sikit-sikit. Takut bersalin awal. Daripada nak tengok-tengok terus saya dan-dan tu rasa nak membeli. Betul juga cakap dia.

Kononnya saya nak mula membeli tahun depan jer bila dapat dividen ASB. Sebab seram punya pasal, saya beli la juga sebab hal-hal macam ni bukan boleh dijangka.

Tapi saya tak beli kat Fabulous Mom. Mahal sikit la kat situ. Lepas cuci mata kat sana, saya terus pergi One Baby World kat Taman Permata. Dah pernah cuci mata kat situ sekali. Jadi dah tau apa nak beli.

Hasilnya macam dalam gambar tu. Saya dapat 4 rompers, 6 stokin, 2 receiving blanket. Rompers dengan stokin tu satu set RM36.90. Receiving blanket tu satu RM10. Shopping pertama untuk baby hari ni, saya dah belanja RM56.90. Kira murah la kan sebab dapat 12 barang.

Baju-baju rasanya akan tambah lagi 6 pasang untuk cukupkan 10. Tak nak beli banyak-banyak. Cukup untuk guna dalam pantang jer. Nanti lepas pantang saya beli lagi yang lain.
Published with Blogger-droid v1.7.4

Sunday, November 20, 2011

Baby Expo Midvalley

Posted by Mar at 4:52 PM 3 comments

Saja jalan-jalan cuci mata.

Hampir terjebak nak beli Medela Freestyle plus ada gift apa tah. RM1888. Juga hampir terjebak nak beli Little Bean Warmer and Sterilizer. Harga RM150.

Akhirnya, tak beli apa-apa pun. Jalan-jalan collect free gift jer. Baru 5 bulan setengah. Rasa macam awal sangat nak beli apa-apa pun. Next expo 24-26 Februari 2012 kat Kuala Lumpur Convention Centre. Kat Midvalley 9-11 Mac 2012. Nanti tunggu la mana-mana warehouse sale ke. Masa tu la shopping ek. Harap-harap belum bersalin lagi masa tu.
Published with Blogger-droid v1.7.4

Monday, November 07, 2011

Hayunan emosi

Posted by Mar at 1:44 PM 4 comments
Hayunan emosi makin menggila.

Adakah kerana perubahan hormon?

Saya tak pasti.

Air mata sangat mudah mengalir.

Hati sangat mudah terusik.

Jiwa sangat mudah tertekan.

Emosi ini sangat terganggu.

Segalanya serba tak kena.

"Oh Tuhan kuberserah segalanya kepadaMu. Agar jiwa kutenang dengan bimbinganMu selalu."
Published with Blogger-droid v1.7.4

Saturday, November 05, 2011

4th day on Aldomet

Posted by Mar at 2:13 PM 0 comments

Wednesday, November 02, 2011

Not an easy pregnancy

Posted by Mar at 9:50 PM 6 comments

Sudah 19 minggu.

Kerisauan saya tentang bp yang ting tong kini telah menjadi igauan ngeri.

Check-up semalam, bp saya 135/102. Kalau sebelum ini ting tong dan masih terkawal, tapi kini doktor bekalkan Aldomet untuk membantu menurunkan tekanan darah saya. Hujung tahun dengan macam-macam beban tugas mana mungkin saya bertenang tanpa bantuan ubat. Fikir positif. Ubat ini supaya saya dan si kecil tidak dalam situasi bahaya.

Tekanan darah yang tinggi bukan sahaja membahayakan ibu malah turut membahayakan si kecil. Saya perlu jaga pemakanan. Elakkan makanan berminyak. Kurangkan pengambilan gula.

Please pray for me and my little one.

P/s Doktor kata nampak macam baby girl :-)
Published with Blogger-droid v1.7.4

Thursday, October 27, 2011

Blood pressure

Posted by Mar at 7:31 PM 0 comments


Ini bp saya pagi tadi.

Cantik jer kan.

Selalunya macam tu la.

Check bp kat rumah, cantik jer bacaannya.

Cuba check kat klinik. Confirm 1st time check tinggi. Nurse suruh relax, tarik nafas. Check lagi sekali baru ok.

Dah kenapa dengan saya ni? Ke mesin check bp kat klinik lebih canggih? Ke sebab saya nervous tiap-tiap kali nak jumpa doktor?


Published with Blogger-droid v1.7.4

Wednesday, October 26, 2011

Jatuh

Posted by Mar at 4:32 PM 8 comments
Sejak pregnant dah 2 kali jatuh. Kejap tadi jatuh kali kedua.

Bukan jatuh terduduk.

Jatuh melutut. Dua-dua kali jatuh pun macam tu.

Rasanya tak apa-apa kot. Terkejut jer.

Harap baby kat dalam kuat.

Sorry, baby.
Published with Blogger-droid v1.7.4

Saturday, October 22, 2011

IKEA Meatballs

Posted by Mar at 3:00 PM 2 comments
Teringin dah lama. Tapi sebab tempat jauh di Damansara, macam malas nak meredah. Jadi gigih la saya mencari resepi nak buat. Resepi asal daripada sini tapi saya ubahsuai ikut barang yang halal la kan.

Bahan:
500 gram daging kisar

1 biji telur

200-300ml susu atau krim (saya guna susu tapi kalau guna krim lagi sedap kot)
2 1/2 sudu besar bawang besar (potong halus)
1/2 cawan serbuk roti
2 biji kentang (dibuang kulit dan direbus)
Sedikit minyak/butter/marjerin
Garam
Lada hitam / lada sulah

Cara:
1. Tumis bawang hingga kekuningan. Ketepikan.
2. Lenyek kentang rebus tadi.
3. Lembutkan serbuk roti dengan sedikit air. Campurkan ke dalam kentang lenyek.
4. Campurkan dan gaul kesemua bahan lain. Agak-agak apabila masukkan bahan berunsur cecair supaya campuran tidak terlalu basah.
5. Bulat-bulatkan membentuk bebola daging.
6. Letak atas dulang yang ditaburkan dengan tepung supaya tidak melekat.
7. Goreng dengan api perlahan hingga masak.

Bahan untuk sos krim:
100ml krim
200ml air
1 kiub stok daging
1 sudu besar tepung gandum
Garam
Lada hitam

Cara:
1. Didihkan air.
2. Masukkan stok daging. Biar hingga larut.
3. Masukkan krim.
4. Masukkan tepung untuk memekatkan.
5. Letakkan sedikit garam dan lada hitam.
6. Dah siap boleh tuangkan sos atas bebola daging yang telah digoreng tadi.

Ini versi dengan sos lada hitam.


Baki sos krim saya makan dengan macaroni. Ala-ala macaroni chicken carbonara versi jimat.

Friday, October 14, 2011

8 tahun

Posted by Mar at 9:26 PM 5 comments

Ini makcik saya yang saya panggil Busu. Adik bongsu ibu saya. Kami serupa. Nenek, Mak, Busu dan saya. Sukar hamil. Faktor keturunan mungkin? Dan orang selalu mengaitkan faktor ini dengan saya. Sesungguhnya ia mengguris perasaan saya. Sangat mengguris.

Mak anak sulung Nenek. Nenek dapat anak kedua iaitu Angah hanya selepas 7 tahun kelahiran Mak. Tahun yang sama Busu pula lahir tak cukup bulan. Angah lahir bulan Februari, Busu lahir bulan November tahun yang sama. Tapi jarak antara Mak dan Angah sangat jauh. 7 tahun.

Mak dapat saya selepas 2 tahun berkahwin. Cukup setahun tidak hamil, Mak dan Abah mendapatkan rawatan di Hospital Universiti atau sekarang dikenali sebagai PPUM. Hanya saya seorang. Saya tiada adik hingga kini.

Busu. Menunggu selama 8 tahun. Dalam tempoh itu pelbagai usaha sudah dibuat. Hospital mana yang tak pernah dia pergi. Dari HKL sampailah ke hospital dan klinik-klinik swasta. Tebuk sana, tebuk sini. Macam-macam. Pernah keguguran sekali tanpa mengetahui yang dia mengandung pun. Akhir sekali dia mendapatkan rawatan dengan Dato' Dr. Hamid Arshat. Masih seperti jawapan doktor-doktor sebelum ini, tiada masalah pada Busu dan Pak Usu. Lantaran itu Dr. Hamid mencadangkan agar mereka berdua mendapatkan rawatan di Darussyifa juga. Selepas 8 tahun, Busu dikurniakan satu-satunya cahaya mata perempuan yang kini sudah pun berusia 15 tahun.

Saya. Menunggu selama 3 tahun. Alhamdulillah kini telah hamil 16 minggu. Perjalanan saya masih jauh. Semuanya pun saya serahkan pada Allah. Moga Allah mempermudahkan perjalanan hidup saya. Jika diizinkan Allah, saya bakal menimang cahaya mata pada tahun ke-4 perkahwinan kami. Sesungguhnya hanya padaMu aku berserah. Saya hanya mampu berusaha dan berdoa namun Allah jualah yang menentukan segalanya.

Antara kami berempat, Busulah yang paling lama diuji. 8 tahun. Kalau saya jadi dia, saya tak pasti sama ada saya akan kuat seperti dia.

Gambar di atas adalah gambar terbaru saya. Gambar minggu lepas. Ya, saya memang tembam. Tak boleh nak sorok dah :-)

Published with Blogger-droid v1.7.4
 

.T.e.n.t.a.n.g.A.k.u.D.a.n.D.i.a. Copyright © 2009 Paper Girl is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal