Tuesday, December 28, 2004

Tawa dalam Tangisan

Posted by Mar at 8:20 AM 0 comments
Menghadiri Gathering Geju besar-besaran buat kali pertama, secara peribadinya telah meninggalkan kenangan manis buat diri aku. Berjumpa dengan mereka yang sebelum ini hanya dikenali melalui tulisan-tulisan yang menusuk kalbu, kali ini bertentangan mata pula. Nama-nama yang biasa didengar tapi tak pernah kenal siapa orangnya kini di depan mata.

Tahniah buat AJK Gathering Geju 2004/05 ini. Penat lelah anda tak sia-sia. Dan yang paling seronok bila balik terasa berat bahu memikul door gift balik ke rumah. Pendek kata "macam-macam ada" dalam beg comel yang boleh aku bawak pergi class tu.

Ramai yang aku jumpa hari tu. Yang dah pernah jumpa dan jumpa semula hari tu pun ramai juga. Yang pertama kali aku jumpa di alam nyata...Kak Nis, Walid, Uncle EP, Petz, Lapan, Kak Rosram, Sultan Muzaffar, Afzal, Ayares, Sera Honeybiru, Abg Rudy Bluehikari & wife, Tipah, Kak Nett, Aisyah, Kelambu, Irja, Wkdin, Op, Tok Rimau, Attokz, Kak Nida, Kak Dona, Airiz, Mie, CtZie, Manmoncang, Basri, Ina, Baim, Cik Lebah, Kak Seriadriani, Marilyn, Laili, Kak Engku, Fajar, Khairusy, Spyz. Nak sebutkan semua nama mungkin ada yang tertinggal. Maaflah kalau ada yang tercicir.

Yang jumpa kali kedua, Lin, Yan, Wira, Eisya, Lan & partner, Langsat, Purbe (sorry kalau ada nama yang tercicir).

Terima kasih tak terhingga buat yang sudi "menumpangkan kasih" (baca:kereta)...
Abang Rudy - dari Stesen Komuter Serdang ke The Mines. Terima kasih Abang Rudy.Turut sama "menumpang kasih", Kak Nis (Ratu Bowling Geju),Walid(pemenang Anugerah Pakaian berseri lagi, tak sia-sia ukur KLCC ek), Lin(yang terkejut dengan kemunculan magic aku), Nana(sakit mata sebab mengintai tuttt.Tak pasal-pasal jadi minah vogue petang tu sebab main bowling pakai sunglasses, dalam dewan pakai sunglasses padahal matahari tak nampak bayang pun. Time tu la jugak nak sakit mata ek Nana. Sabor je la).

Yan dan Wira - dari The Mines ke kolej Eisya, UPM (aku tak ingat apa nama kolej Sya ni). Lin pun "menumpang kasih" kasih sekali. Terima kasih Yan & Wira.

Ina - dari kolej Eisya ke Dewan Sri Pulasan Kolej Keenam, UPM. Lepas tu dari dewan ke Restoran Utama (tak sure, rasanya Restoran Utama kot). Kali ni Eisya dan Lin pun ada sekali. Kira-kiranya aku menumpang kasih Lin jugak la. Lin jugaklah informer aku yang paling hebat. Segala berita tentang gathering ni dia bagitahu aku. Sampaikan macam mana aku nak datang The Mines pun dia tolong arrangekan. Terima kasih Ina, Lin & Sya(menumpangkan bilik untuk bermalas-malasan seketika sebelum gathering bermula).

ND - dari Restoran Utama hingga ke pintu rumah. Merasa jugak naik kereta baru ND yang amatlah selesa tu. Thanks ND.

Tahniah buat pemenang-pemenang anugerah...

Anugerah Projek Terbaik - Gangguan Teksual I, II, III
Anugerah Fotoblog - Airiz
Anugerah Catatan Terbaik - Encik Khairul
Anugerah Blog Inggeris Terbaik - Kak Dona
Anugerah Pakaian Berseri - Tipah dan Walid
Anugerah Rekabentuk Weblog Terbaik - Meertaro
Anugerah Weblog Tercanggih - Mie
Anugerah Blog Hikmah/Dakwah/Muslim Terbaik - Paichowan
Anugerah Khas Juri - Tok Rimau
Anugerah Geng Paling Aktif Semasa Gathering - Afzal
Anugerah Weblog Harapan 2004 - Op
Anugerah Weblog Wanita Terbaik - Mak Andeh
Anugerah Weblog Lelaki Terbaik - D'arkampo
Anugerah Weblog Terbaik -Sultan Muzaffar

Jangan tak tau. Aku pun menang anugerah jugak. Anugerah tempelan la. Aku pun kira menempel kat situ jugak. Nak tau apa anugerahnya?Hahaha. Menang meja paling meriah. Hebat tak hebat la.


Ni la "kepala meja" nya, Lin sedang menerima hamper dari Tok Rimau. Turut sama memeriahkan meja, Aku, Eisya, Ina, Yan & Wira. Nak tengok gambar lagi? Meh la melawat fotopages aku... http://chempakasari.fotopages.com



* Salam takziah buat semua keluarga mangsa tragedi "tsunami". Semoga tragedi yang berlaku ini memberi keinsafan buat kita semua. Al-fatihah.

Tuesday, December 21, 2004

He is so rude!

Posted by Mar at 11:04 AM 0 comments
Simpati terhadap apa yang berlaku pada saudari Norlida Abdul Rahman yang ditinggalkan tunang di saat-saat menghampiri hari bahagia. Apa yang dilakukan oleh bekas tunangnya, Hasmawi Hassan, pemain bolasepak Kedah tu memang kejam dan tidak berhati perut. Kenapa dia perlu bersetuju melangsungkan perkahwinan sedangkan hati berbelah bagi? Kenapa dia mesti tersenyum bersetuju dan gembira sedang hati langsung menafikannya? Kalau tak mahu katakan tak mahu. Kan itu lebih mudah daripada membiarkan perkara sebegini berlaku.

Ini tidak. Si lelaki lebih rela membabitkan kesemua ahli keluarga termasuk keluarga pihak perempuan untuk menerima aib dan malu. Bukan setakat malu, malah wang ringgit turut lebur begitu sahaja. Hari yang sepatutnya membahagiakan semua ahli keluarga menjadi medan linangan air mata dan mungkin juga pertikaman lidah serta luahan marah dan dendam. Itukah yang si lelaki mahu? Malah dia sendiri turut menerima akibat daripada perbuatan tak bertamadun itu (Hasmawi Hassan akan ditamatkan kontrak bermain untuk pasukan Kedah-Berita Harian, Selasa, 21 Disember 2004). Rasakan. Itu mungkin padah dan balasan yang harus diterima akibat membuat keputusan tanpa memikirkan hati dan persaan orang lain. Sekarang diri sendiri menanggung akibat. Tidak semena-mena hilang mata pencarian.

Buat saudari Norlida. Bersabarlah. Ini dugaan yang memang seperti satu tamparan buat saudari. Tetapi percayalah. Apa yang berlaku ini memang satu rahmat daripada Allah s.w.t. Bersyukurlah kerana perkara ini berlaku sebelum menjadi isteri si lelaki durjana itu. Terang-terangan telah terserlah bahawa dia bukanlah lelaki yang mempunyai ciri-ciri lelaki yang sesuai dijadikan suami dan nakhoda mengetuai kapal untuk melayari bahtera alam perkahwinan. Jika peristiwa hitam ini tidak berlaku dan dia terus dibenarkan menjadi nakhoda, mungkin saudari akan lebih menderita dan berendam air mata.

Semoga saudari terus tabah menghadapi hari-hari yang mendatang ini. Usahlah saudari risau. Gadis secantik dan semanis saudari ini pasti ramai jejaka yang lebih baik budi pekertinya sudi menghulur tangan memimpin saudari menempuh ke alam bahagia. Hanya masa yang akan menentukan. Saudari seorang jururawat, satu tugas yang mulia, yang sudah pasti sering berhadapan dengan saat-saat genting dengan pesakit setiap hari. Anggaplah ini salah satu daripada saat genting yang pernah saudari hadapi. Kuatkan semangat. Tabahkan hatimu.

Get lost with that man. He is so rude!

Friday, December 17, 2004

Mak Aku Dah Terima Menantu

Posted by Mar at 9:40 AM 0 comments
Angin tak ada, ribut tak ada, tiba-tiba Mak aku dah terima menantu. Tak semena-mena segala bendul, tiang, pasak dan segala macam dah dilanggar (langkah bendul aku la tu). Mak sedih campur gembira. Sedih sebab majlis yang sepatutnya meriah dan dihadiri sanak-saudara tidak berlaku. Seolah-olah macam majlis ni dibuat sebab terdesak atau sebab kena cekup dengan JAIS. Dulu setiap hari dia akan balik tidur di rumah. Kemudian, dua tiga hari lepas tu dia tak balik. Musykil dan risau juga kenapa agaknya dia tak balik. Merajuk ke dia? Kemalangan ke dia? Lari dari rumah ke? Nak kata Mak dan Abah tak setuju dengan gadis pilihan dia, dia tak pulak pernah bawa balik tunjukkan pada kami. Alih-alih, tup-tup dia bawak balik isteri. Entahlah, Mak pun tak tau nak marah atau apa. Tak apa la. Yang penting dia selamat dan gembira serta dia pun dah selamat kembali ke rumah. Maaflah, sebab tak ada majlis kenduri untuk menghebahkan berita gembira ini.


Teratak indah kediaman pasangan dua sejoli @ pokok Mak aku.






Pasangan bahagia yang masih berbulan madu.


Burung ni dah bertahun-tahun tinggal di pokok Mak aku tu. Ada la dalam 2 atau 3 tahun rasanya. Sekarang dia dah berpasangan pulak. Setiap malam mesti dia akan balik ke rumah. Cuma kalau hujan lebat dia tak balik tapi keesokan harinya mesti dia akan balik juga. Kira dah jadi macam anak angkat dalam keluarga Encik Mokhtar. Adik aku la tu kiranya. Dulu masa dia mula-mula datang, dia kecil jer. Sekarang dah montel sikit sampai senget pokok Mak aku. Ada orang cakap mungkin burung ni bawa rezeki pada kami.

p/s Ada sesiapa tahu apa nama spesis burung ni?

Tuesday, December 14, 2004

Rambut vs Berus Dawai

Posted by Mar at 10:47 AM 0 comments


Bila baca tentang rambut toncet Mak Andeh, aku teringat zaman kanak-kanak aku dulu. Zaman jadi budak kecik dan budak sekolah dulu-dulu, aku memang tak ada peluang nak simpan rambut panjang. Paling panjang pun rambut aku masa tu hanya menutupi leher jer. Lepas tu terpaksa zassss atas arahan Mem Besar.

Aku ingat lagi, masa tu aku belum masuk sekolah lagi rasanya. Umur aku masa tu adalah dalam 3 atau 4 tahun. Zaman tu aku tak pergi potong rambut kat kedai. Yang potong rambut aku semua kaum-kerabat. Kalau tak nenek aku, datuk aku. Kalau tak Mak aku, Abah aku. Kalau tak Busu aku, Pak Usu aku. Macam gitulah pusingannya.

Tapi ada satu kes yang paling aku ingat sampai hari ni. Ada sekali tu Mak aku potong rambut aku. Potong punya potong. Zass punya zass...Mak aku sudah terzass telinga aku. Tapi tak adalah sampai mencederakan dan mencacatkan telinga aku yang kecik comel tu. Tak adalah sampai nak kena report kat Teledera. Mungkin disebabkan telinga aku yang terlalu comel dan cute tu membuatkan Mak aku tak perasan lalu termahu gunting dengan telinga-telinga aku sekali. Sabar jer la kan. Tapi kalau korang tanya Mak aku sekarang pasal kes tu sure dia macam ingat-ingat lupa atau buat-buat lupa. Malu la tu kot. Hehehe. Dan sejak peristiwa berdarah yang tak mengeluarkan darah tu aku langsung tak nak kalau Mak aku offer diri nak potong rambut aku.

Sejak peristiwa tu jugalah aku pun mula menjejakkan kaki ke kedai gunting rambut untuk menggunting rambut. Kalau tak silap aku first hair stylist yang sentuh rambut aku ni nama dia Kak Peah. Dia kira pangkat makcik sebenarnya sebab anak-anak dia semua kira baya-baya aku jugak tapi sebab Mak aku panggil Kak Peah, aku pun panggil dia Kak Peah jugak. Hehe.

Disebabkan dari kecik aku dah dilatih berambut kontot, maka sampai sekarang pun aku selesa dengan potongan rambut yang kontot jugak. Cuma sekarang ni aku dah mula nak simpan rambut panjang kononnya. Tak tahulah sampai bila boleh bertahan.

Aku simpan rambut panjang ni bukannya apa. Bukannya nak bagi nampak ciri-ciri kegadisan Melayu terakhirnya. Cuma aku malas nak pergi kedai potong rambut. Selalunya aku pergi potong rambut kat Shah Alam. Aku suka pergi kedai ni sebab dia potong rambut kira menepati la citarasa dan apa yang aku cakap kat dia. Tapi sekarang aku dah malas nak pergi situ lagi sebab bila aku pergi sana mesti dia sibuk suruh aku buat hair treatment. Dia kata rambut aku dah rosak, dah nampak perang-perang, keras macam dawai berus lantai. Tu semua simptom-simptom rambut rosak la tu dia kata.

Aku bukannya apa. Bukan tak nak buat treatment tu. Kalau dia kata buat hair treatment tu tanpa bayaran, nak jugak aku buat. Ni nak kena bayar sampai nak dekat RM100, mana aku nak cekau duit. Tu yang aku malas nak pergi potong rambut tu. Tapi rasanya sekarang rambut aku dah tak keras macam berus dawai lagi kot. Dah jadi selembut sutera. Muahahaha (perasan).

Monday, December 13, 2004

Renjis-renjis Dipilis

Posted by Mar at 9:45 AM 0 comments


Hujung tahun. Musim orang naik pelamin. Musim makan nasi pengantin. Seronok bila tengok kawan-kawan dan sepupu-sepapat malangkah ke alam baru. Tapi yang tak bestnya bila orang lain yang kahwin, orang lain pulak terpaksa kena tempias jugak.

Bila semua orang sibuk-sibuk nak kahwin, Nenek aku pulak sibuk bertanya bila aku nak kahwin. Dia siap cakap, "Mak Mar dengan Busu (makcik aku, adik Mak paling bongsu)umur 24 dah kahwin dah." Sesuka hati je kan Nenek aku ni. Dia ingat cari suami macam cari baju kat shopping complex agaknya. Asal berkenan sambar jer. Bila pergi kenduri kahwin pulak ada jer yang tanya, “Mar bila lagi?”. Yang Mak aku pulak nanti akan ditanya, “Zah bila lagi nak terima menantu?” Risau betul diorang dengan aku yang tak kahwin-kahwin ni ek. Tapi perlu ke risau? Entah. Aku belum sampai tahap risau lagi kot.

Aku hairan bin ajaib sebenarnya la. Relax la. Umur aku baru jer 23. Muda sangat rasanya nak melangkah ke alam yang lagi satu tu. Belum puas rasanya aku explore dunia ni. Banyak lagi cita-cita yang belum kesampaian. Banyak lagi benda yang aku excited nak buat. Banyak lagi masa aku nak habiskan bersama kawan-kawan.

Kahwin tu bukan kerja senang. Kahwin tu kan satu tanggungjawab. Buat apa kahwin kalau kita rasa kita belum bersedia untuk pikul tanggungjawab tu? Seriously, I think I’m still young to think about this kahwin-kahwin thing. Hehehehe. Muda ke aku? Perkahwinan bagi aku adalah perkongsian hidup sepanjang hayat bersama seorang manusia bergelar lelaki. Sikap baiknya, tabiat buruknya akan menjadi satu perkara yang perlu aku hadapi seumur hidup. Itu bukan kerja mudah. Am I ready for that? Entahlah. Aku sendiri pun tak pasti.

Bila aku cakap macam ni ramai kawan-kawan yang kata, “Ala Mar…Mulut cakap lain, hati cakap lain. Betul tak? Jangan tipu diri sendiri la Mar.” Aku tipu diri sendiri ke? Memang semua orang mengimpikan kehidupan mempunyai keluarga sendiri bersama suami dan anak-anak. Aku pun tak terkecuali. Cuma mungkin pengalaman lalu dan impian masa silam yang tak kesampaian buat aku lebih berhati-hati dan tidak mahu mengambil serius perkara-perkara sebegini. Mungkin aku agak pentingkan diri sendiri kerana terlalu menjaga hati sendiri. Tapi siapa lagi yang nak jaga hati kita kalau bukan kita sendiri. Ye tak?

Bagi aku jodoh semua di tangan Allah. Siapa yang memang telah ditentukan untuk jadi teman hidup aku nanti akan aku terima dengan hati terbuka. Aku bukanlah manusia yang mahu diri sendiri dibiarkan terus dilanda kecewa sebab aku tahu ada sinar bahagia bakal menanti di hujung sana. Hanya masanya belum tiba lagi.

Thanks to Busu. She said something that really touches my heart...

“Mar jangan risau la. Insya-Allah ada jodoh nanti kahwin la. Ignore la cakap Nenek tu.”

Saturday, December 04, 2004

Letih Den...

Posted by Mar at 11:33 AM 0 comments
Dua tiga hari ni aku terseksa jiwa dan raga. Mana taknya. 24 jam aku asyik terkejar-kejar cari toilet. Cirit-birit melanda. Perut memulas-mulas dan bergelora tak usah cakap la. Siap keluar bunyi ala-ala orkestra lagi. Letih den. Ni semua gara-gara makan kat restoran mamak glamour kat Wangsa Maju tu.

Al-kisahnya, hari Rabu hari tu, Mak aku teringin nak makan tose rawa. Lebih kurang pukul 8 malam, aku, Mak dan Abah pun pergi la sana. Mak order tose rawa + teh tarik, Abah order capati + teh tarik. Disebabkan aku tak berapa nak lapar dan nak diet konon (cheh, diet konon tapi badan makin montel macam dipam-pam, kembang-membang), aku pun order la Garden Salad + ais kosong.

Sambil tengok berita sensasi Kak Pah kat screen besar restoran tu, makanan kitorang pun sampai. Sesi sumbat-menyumbat makanan ke mulut pun bermula la. Bila tengok Mak makan tose rawa tu aku teringin la pulak. Aku pun cubit la sikit tose tu dan disodokkan ke kuah kari lalu disumbatkan terus ke mulut aku. Disebabkan kari dia yang sungguh menjilat sudu aku pun sodok kuah kari tu semata-mata dan disumbatkan terus ke mulut aku. Aku rasa ada la dalam dua tiga sudu aku hirup kuah kari tu.

Cabaran bermula dalam pukul 3 pagi. Badan aku jadi tak tentu hala. Macam seram sejuk. Loya-loya rasa macam nak muntah. Terjeluwek sana terjeluwek sini. Disebabkan mata aku tertutup rapat dan rasa sungguh sayang nak bangun dari katil sebab hujan turun dengan lebatnya, aku tak ada la pergi bilik air mengeluarkan segala apa yang rasa macam nak keluar tadi tu. Last-last aku tertidur balik.

Pukul 6.30 pagi aku terjaga untuk sembahyang Subuh. Masuk bilik air jer, terus segalanya-galanya terkeluar. Aku tak nampak kari, aku tak nampak Garden Salad. Yang aku nampak cecair-cecair berlendir yang berwarna kekuning-kuningan dengan rasa yang payau pahit. Dan selepas tu bermula la cabaran-cabaran seterusnya.

Segala-gala yang ada dalam perut aku ni menjerit-jerit dan meronta-ronta nak keluar sama ada ikut mulut (muntah) mahupun saluran yang lagi satu tu (faham-faham la ek). Keluar masuk bilik air dah jadi aktiviti paling aktif hari Khamis tu. Last-last aku surrender. Daripada pakai seluar track aku tukar pakai kain batik. Senang sikit. Hehehe. Sampai demam-demam aku hari tu. Nasib baiklah hari Khamis memang aku tak ada class.

Yang paling sadis semalam la. Dalam pukul 7.30 pagi Mak tumpangkan aku sampai kat KL Sentral sebab pukul 10 pagi aku ada appointment dengan Prof S nak bincang pasal tesis aku. Disebabkan aku rasa awal lagi, aku pun pergi la beli teh o kat McD. Konon nak mengurangkan kadar kekerapan ke bilik air ler. Minum punya minum,dalam pukul 8 aku pun turun ke platform Komuter ke Shah Alam. Entah macam mana aku rasa tekak aku ni dah rasa lain macam. Rasa macam nak muntah. Ah, haru ni. Kat mana aku nak muntah ni. Aku bukan bawak plastik. Aku pun pi la cari port yang sesuai. Tapi tarak tahan punya hal aku dah termuntah atas rel Komuter. Lepas tu baru aku nampak tong sampah. Aku lari pulak ke tong sampah. Mintak mahap la. Emergency maaa. Yang keluar, teh yang baru sat tadi tu aku minum. Cheh, rugi RM1.67 aku tadi. Dah macam rupa orang morning sickness pulak aku ek. Hehe. So, kalau ada yang nampak gadis berbaju kurung biru yang muntah terbelahar pagi semalam, buat-buat la macam tak ada apa-apa yang berlaku ek. Malu aku sih.

Alhamdulillah, hari ni aku rasa dah ok sikit. Cuma masih lagi ke tandas tapi dengan kadar kekerapan yang makin berkurangan. Rasanya ok kot, tak payah la pergi klinik kan (alasan orang yang takut pergi jumpa doctor).

Andaian dan kesimpulan (chewah) :

Garden Salad yang aku makan mungkin telah disembur dengan bergelen-gelen racun serangga dan tak dicuci bersih.

Kari mamak tu mungkin kari minggu lepas yang dah berpuluh kali kena perangat (yang peliknya Mak dengan Abah aku pun makan kari tu tapi tak ada apa-apa pun).

Kalau nak muntah kat bilik air, jangan muntah dalam sinki. Sila muntah dalam toilet bowl sebab kalau keluar benda-benda berupa pepejal mungkin akan menyebabkan sinki tersumbat dan terpaksa mencuci balik sinki tu. Kalau muntah dalam toilet bowl senang, flush jer lepas tu.
 

.T.e.n.t.a.n.g.A.k.u.D.a.n.D.i.a. Copyright © 2009 Paper Girl is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal