Monday, July 26, 2004

Galeri Petronas

Posted by Mar at 8:32 AM
GALERI PETRONAS... Ini adalah salah satu tempat wajib aku pergi setiap kali menjejakkan kaki ke KLCC (tapi dah lama benar aku tak ke sana). Galeri ini mempamerkan pelbagai jenis dan bentuk seni daripada pelbagai media. Di sinilah aku sebagai seorang insan yang kerdil cuba menghayati karya seni sama ada dari anak tempatan mahupun karya seni antarabangsa; seni tradisional mahupun seni moden. Aku bukanlah insan yang dilahirkan dengan bakat seni yang semulajadi. Bakat seni aku diasah dan aku taklah sehebat pelukis dan penggiat seni tanah air tetapi aku sangat meminati dan gemar mengikuti perkembangan seni itu sendiri. Tak kiralah sama ada seni lukis, seni halus, seni tampak, seni reka, seni muzik, senibina, seni persembahan dan sebagainya. Galeri Petronas merupakan salah satu sumber ilmu seni dan salah satu cara untuk aku mengekspresi minat aku yang mendalam terhadap seni.

Galeri Petronas dibuka dari hari Selasa hingga Rabu dan ditutup pada hari Isnin. Dibuka dari jam 10 pagi hingga 8 malam dan masuk adalah percuma. Terletak di Lot 341-343, Level 3 Suria KLCC, Galeri Petronas sentiasa segar dan tidak pernah putus dengan pameran seni yang pelbagai. Galeri Petronas mempunyai lebih 1000 koleksi lukisan, foto, bahan bercetak, arca, tekstil, kostum, kraftangan dan seramik dari Malaysia dan luar negara. Melalui koleksi-koleksi ini, Petronas telah memainkan peranan dalam memelihara pusaka warisan seni di samping menyokong perkembangan seni di Malaysia.

Sejak 1993, Galeri Petronas telah menganjurkan banyak pameran dan menerima beribu pengunjung. Ini secara tidak langsung telah merealisasikan matlamat mereka untuk menyediakan sebuah pusat seni bertaraf dunia sekaligus menyumbang ke arah mewujudkan masyarakat Malaysia yang tahu menghargai seni budaya.

Di samping pameran yang menjadi aktiviti utama di sini, Galeri Petronas turut mengajurkan program seperti bengkel seni, demonstrasi, kelas seni, tayangan video, ceramah dan seminar berkaitan seni. Semua aktiviti dan acara ini terbuka kepada orang awam dan dibuat untuk memenuhi minat dan citarasa semua lapisan
masyarakat.

Terbaru, Galeri Petronas sedang mempamerkan German Drawings & Prints (1895-1906). Pameran ini telah pun bermula 10 Julai yang lalu dan bakal berakhir 8 Ogos ini.

(Untuk maklumat lanjut tentang Galeri Petronas, sila layari http://www.galeripetronas.com.my/)

0 comments on "Galeri Petronas"

 

.T.e.n.t.a.n.g.A.k.u.D.a.n.D.i.a. Copyright © 2009 Paper Girl is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal