"Dah makan adipex tapi kenapa tak kurus juga."
Adipex bukan ubat untuk kuruskan badan. Adipex hanyalah ubat yang membantu kita mengurangkan selera makan. Secara tidak langsung mengurangkan rasa lapar.
Itu sahaja fungsi adipex. Ia bukan ubat magic yang boleh kecutkan badan atau buang berat yang memang degil itu.
Contoh. Jika kita makan adipex kita tidak akan ada selera untuk makan sebab tak berapa lapar. Tetapi kalau kita tetap makan macam biasa, contohnya pagi makan nasi lemak. Tengah hari makan nasi campur. Malam makan nasi goreng. Kita makan sekadar makan sedangkan perut tak rasa lapar pun. Haruslah tak kurus walaupun telan adipex berbotol-botol. Silap-silap berat badan akan naik. Tambah-tambah kalau kita makan clomid. Lagi la membelon sebab clomid menyebabkan water retention.
Adipex hanya akan berkesan jika kita mengawal pemakanan. Kalau ikut cara gynae saya, pagi makan makanan berat. Tengah hari dan malam makan yang ringan saja tapi dengan kuantiti yang sedikit. Senaman adalah sangat penting. Itu kata gynae saya. Seminggu selepas makan adipex, saya turun 2 kilogram tapi gynae saya tak kagum pun malah suruh saya bersenam supaya berat saya turun lebih banyak lagi.
2 bulan saya makan adipex, saya turun 10 kilogram. Sangat susah walaupun dengan bantuan adipex. Berikut adalah menu saya sepanjang mengambil adipex dengan harapan berat badan akan turun.
Dengan harapan selepas itu saya akan hamil.
Dengan harapan gynae saya tidak kecewa dengan saya.
Dengan harapan gynae saya tak marah saya.
Menu untuk sarapan pagi:
Tortilla gulung yang dibakar dan disapu sedikit mayonis + sos cili, berinti 1 biji tomato + 2 helai daun salad + sebiji telur rebus hancur @ sedikit isi ikan rebus
atau
Ikan bakar @ Ikan kukus + 2 helai daun salad + 1 biji tomato
atau
Ayam kampung bakar + 2 helai daun salad + 1 biji tomato
Menu untuk makan tengah hari:
Tiada.
Tetapi saya gantikan dengan senaman di gym. Waktu ni perut biasanya kenyang sebab terpaksa minum banyak air masak akibat peluh banyak keluar.
Menu untuk makan malam:
Buah oren
atau
Nasi 1 sudu @ 2 sudu + sedikit lauk
atau
Roti putih kosong atau roti wholemeal kosong 1 keping @ 2 keping
atau
Makanan lain yang diingini tetapi dalam kuantiti sekadar untuk rasa. Selebihnya serahkan pada suami atau orang di sekeliling.
Saya harap maklumat ini dapat menjawab soalan, "Dah makan adipex tapi kenapa tak kurus juga."