Friday, May 13, 2005

Tentang Dia & Konsep

Posted by Mar at 9:36 AM
Image hosted by Photobucket.com

Mungkin agak terlewat bagi aku untuk membuat ulasan tentang filem ini. Tapi tak salah rasanya kan kerana ini sekadar ulasan peribadi aku. Kalau kau mahu baca, teruskan. Kalau sudah jelak, berhenti saja di sini.

Ina kata filem ini membosankan. Mak menitiskan air mata di hujung cerita walaupun cuba menafikannya. Perasaan aku sangat neutral sebaik melangkah keluar dari panggung (Mahu menangis khuatir diejek. Mahu ketawa khuatir pula dianggap mengejek. Jadi aku ambil jalan tengah.) Abah pula masih sedang berkira-kira untuk mendapatkan VCD cetak rompak dari sebuah lokasi yang sengaja dirahsiakan. Hahaha.

Bagi Ina filem ini sangat membosankan mungkin kerana jalan ceritanya bergerak terlalu perlahan (Memandangkan Ina seorang gadis ceria, gemar membuat lawak sarkastik dan suka bergosip, aku fikir filem ini tidak menepati jiwanya). Bila aku mengatakan filem ini bergerak terlalu perlahan tidak bermakna filem ini lemah dan gagal. Apa yang berlaku di sini ialah filem ini bergerak perlahan kerana itu adalah konsep filem ini. Untuk konsep, filem ini layak mendapat gred A.

Filem ini bercerita tentang kesedihan dan kekecewaan. Tentang kesuraman jiwa 3 watak utamanya. Gadis yang kecewa kerana dilaknati sahabat sendiri yang menjalin hubungan sulit dengan kekasihnya. Rudi yang meratapi dan menyesali kematian adiknya yang tak mampu dia selamatkan di samping berperang dengan penyakit kronik yang dihidapi. Serta Randu yang hampir putus asa kerana usaha mendapatkan cinta Gadis selalu saja gagal biarpun berkali-kali mencuba. Jadi, mood ketiga-tiga watak utamanya serta keseluruhan jalan cerita berkisar hanya pada kesuraman dan kesedihan. Ini sekaligus meletakkan filem ini sebagai sebuah filem yang sangat menepati konsep yang cuba diketengahkan. Suram. Sedih. Hilang. Kesal. Kecewa. Perkataan-perkataan inilah yang bermain dalam seluruh isi filem ini.

Sebab itu dalam filem ini dapat dilihat yang visualnya bermain dengan pencahayaan yang suram dan gelap. Tona warna keseluruhan babak juga lebih kepada warna-warna gelap seperti biru tua dan hitam hatta hampir kesemua pakaian/kostum watak-wataknya juga bermain hanya sekitar warna-warna ini sahaja (Kalau dalam roda warna, ia adalah dalam kategori warna sejuk.)

Satu yang istimewa tentang filem ini ialah setiap babak, perlakuan dan aksi pelakon ada simboliknya yang tersendiri. Kamera berpusing-pusing mengelilingi Gadis di tengah kota yang lengang. Hasilnya, ia memberi satu gambaran gelodak jiwa Gadis ketika itu. Kota lengang = kematian/kehilangan Rudi. Kesan kamera yang berpusing-pusing pula menggambarkan betapa kacau-bilau dan gundah-gulananya jiwa Gadis ketika itu kerana kematian Rudi dan dihimpit rasa bersalah yang teramat. Satu lagi ialah simbolik tulisan luahan hati dan harapan Gadis lalu dijadikan kapal terbang kertas. Ia seolah gambaran harapan Gadis yang menggunung tinggi seolah-olah mahu menerbangkan kapal terbang kertas itu terus ke langit tapi yang pasti kapal terbang kertas itu akan jatuh terhempas jua. Serupalah seperti berangan-angan kosong. Angan-angan yang sudah pasti tidak akan jadi kenyataan (Contoh, mendapatkan semula bekas kekasihnya).

Di akhir cerita, Gadis bangkit lalu membuang semua kapal terbang kertas yang dibuatnya sewaktu melalui fasa kemurungan dan kekecewaan (dikhianati kekasih) menandakan yang dia tak mahu lagi hidup dalam angan-angan yang tak pasti sebaliknya mahu meneruskan hidup dalam dunia realiti. Masih ingat tak dengan filem Perempuan Melayu Terakhir? Aksi di mana Eizlan Yusof mendayung sampan ke arah masjid tapi sampannya seolah tidak bergerak dan tidak mahu bergerak. Simboliknya Eizlan (aku tak dapat ingat nama wataknya dalam filem itu) masih belum mendapat hidayah untuk bertaubat atau hatinya masih sebal atau belum terbuka untuk kembali ke pangkal jalan. Apabila simbolik-simbolik ini difahami dengan mudah, skrip panjang berjela yang membosankan sudah tidak perlu lagi. Mudah bukan? Filem bermain dengan visual. Sama seperti lukisan. Kita lihat, dalami dan fahami. Tanpa kata-kata pun mesejnya boleh disampaikan. Bukan seperti drama radio yang hanya bermain dengan kesan bunyi dan kata-kata. Untuk drama radio, ya, skrip yang jelas serta kesan bunyi yang tepat sangat perlu agar maksud dapat disampaikan secara terus.

Sedih dan suram. Inilah mood dan konsep yang cuba dibawa dalam filem Tentang Dia. Mood dan konsep ini berjalan di atas landasan yang betul dari awal hingga akhir cerita. Kalau adapun unsur komedi dan lawak jenaka, ia sekadar sebagai menu sampingan seperti telur masin atau ikan masin yang mana kehadirannya atau ketidakhadirannya langsung tidak menjejaskan keseluruhan menu. Kalau ada, ia menambahkan kelazatan tapi kalau tiada, tetap tidak menjejaskan rasa dan zat dalam menu utama tadi.

Bagi aku, filem ini konsepnya sangat kuat (Aku tak berani komen aspek lain kerana kurang arif tentang ilmu filem secara mendalam). Konsep bagi aku sangat penting dalam semua kerja seni. Konsep dianggap sebagai garis panduan dalam melakukan sebarang kerja seni agar ia tidak tersasar dari landasan dan arah tujuan. Apabila sesuatu kerja seni itu tiada konsep dan mengambil pendekatan caca-marba atau rojak, fokus dan matlamat asal pasti akan tersasar. Filem perlu ada konsep. Album perlu ada konsep. Rancangan TV, drama, teater, konsert, cerpen, majalah, lukisan, komik hatta majlis perkahwinan juga ada konsep tertentu (Contohnya perkahwinan dalam taman, moden, tradisional). Semua itu perlu ada konsep yang jelas. Perhatikan, seorang pelukis yang baik pasti keluar dengan siri lukisan yang berpaksi pada suatu konsep atau tema setiap kali melakukan pameran. Sebagai contoh, tema lukisan kali ini mungkin menekankan unsur geometrik dan untuk siri lukisan akan datang mungkin ia keluar dengan sentuhan alam semulajadi. Perhatikan pula konsep sebuah majalah ini. Lihat, aku sendiri tak dapat mengklasifikasikan majalah ini sebagai majalah genre apa. Aku namakan majalah ini sebagai majalah M*ngg* (Kau tahu kan majalah ni?). Konsep majalah ini agak kacau-bilau. Di celah-celah gossip artis ada gambar separuh bogel wanita dan lelaki. Di sebelah foto “hebat” itu muncul pula pelbagai hadis Nabi. Kau mahu klasifikasikan ia sebagai apa? Hiburan + porno + agama? Ya, mungkin itu strategi pemasaran yang mahu mengaut/menarik perhatian beberapa kategori golongan sasar (meluaskan target market + menambah bilangan pembeli dan pembaca) tapi persoalannya, sesuaikah ketiga-tiga itu diletakkan sekali?

Tentang Dia :

Berjaya dengan konsep yang jelas dapat dilihat melalui visualnya.

Jalan cerita yang sederhana. Tidak terlalu ringan atau tidak terlalu berat (Pendekatan yang paling selamat rasanya. Sama seperti yang dilihat dalam Sepet.)

Gagal membuat aku menangis mungkin kerana hari tu aku terlalu gembira kerana masuk panggung dengan baju baru + cermin mata baru + tiket wayang free.

Nota :
Menonton Sepet, aku menangis 2 kali.

0 comments on "Tentang Dia & Konsep"

 

.T.e.n.t.a.n.g.A.k.u.D.a.n.D.i.a. Copyright © 2009 Paper Girl is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal