Friday, September 03, 2004

Hang Tuah dari Kaca Mata Aku

Posted by Mar at 9:17 AM
Menonton Puteri Gunung Ledang telah menambahkan satu lagi tanggapan / persepsi aku terhadap lelaki umumnya dan lelaki Melayu khususnya. Atau lebih tepat responden dalam filem ini adalah Hang Tuah.

Hang Tuah dalam siri Hikayat Hang Tuah sering digambarkan sebagai hero, wira dan pahlawan yang hebat hingga diberikan tanggungjawab sebagai Laksamana Melaka. Dialah Laksamana Melaka yang paling diingati dalam sejarah politik dan pentadbiran zaman Kesultanan Melayu Melaka. Namun, dalam filem ini, aku tak nampak Hang Tuah yang gagah dan perkasa.

Dalam filem ini, aku lihat Hang Tuah dari sudut yang berbeza. Aku lihat Hang Tuah sebagai pahlawan yang lemah, takut, kecewa, keliru, menghadapi konflik dan “GEMAR MENGECEWAKAN HATI WANITA”. Mengapa Hang Tuah yang dianggap wira itu sanggup berkelakuan begini? Adakah hati wanita yang hadir dalam hidupnya itu sekadar untuk disakiti?

Dalam filem ini sahaja ada dua wanita yang pernah disakiti oleh Tuah iaitu Gusti Putri Retno Dumillah (Puteri Gunung Ledang) dan Tun Teja. Kedua-duanya dikecewakan hanya kerana kesetiaan yang tak berbelah-bahagi dan membuta-tuli Tuah terhadap Sultan Melaka, Sultan Mahmud Shah. Aku mempersoalkan kejujuran dan keikhlasan Tuah terhadap dua insan kaum sejenisku ini. Adakah cinta yang dihulurkan Tuah itu cinta yang tulus dan suci yang lahir dari sudut hatinya yang mulia ataupun Tuah menggunakan tarikan dan karisma kepahlawanannya untuk memancing jiwa wanita yang benar-benar menyintainya semata-mata untuk kepentingan dirinya agar dipandang tinggi di mata Sultan?

Jika benarlah tujuan Tuah adalah kenyataan yang kedua itu, aku dengan tanpa rasa bersalah, kesal dan belas-kasihan mengkategorikan Tuah sebagai lelaki yang keji, kejam dan tak berperikemanusiaan. Keji, kejam dan tak berperikemanusiaan dalam konteks cinta, hati, perasaan dan hubungannya dengan insan bergelar wanita.

Dalam filem Puteri Gunung Ledang ini, sudah terang lagi bersuluh yang Tuah memberi harapan menggunung tinggi (setinggi Gunung Ledang mungkin) terhadap Gusti Putri. Bermadu kasih, bersumpah setia, menyulam mimpi…namun, itu hanyalah pada kata-kata Tuah yang manis hanya seperti menanam tebu di tepi bibir. Gusti Putri sanggup berkorban banyak perkara semata-mata kerana menurut kata hatinya serta perasaan cinta yang mendalam terhadap Tuah yang durjana.

Gusti Putri meninggalkan Majapahit, mempertaruhkan nyawa rakyat dan negaranya, ingkar pada kekandanya (abangnya Gusti Adipati Wira Namtani), kehilangan Mbok si pengasuhnya (Mbok membunuh diri kerana rasa bersalah terhadap Gusti Adipati akibat membawa Gusti Putri ke Melaka dan menyembunyikannya di Gunung Ledang).

Lihatlah betapa besar pengorbanan dilakukan oleh sang kekasih buat pahlawan yang dicintainya. Ini semua didorong rasa cinta dan kasih yang mendalam, tulus, ikhlas dan suci. Namun berbaloikah memberi cinta yang agung itu pada si Tuah yang tak pandai menilai dan menghargai?

Ditegaskan di sini, ini bukanlah kali pertama Tuah berkelakuan begini terhadap wanita. Sebelum ini, Tun Teja rela memperjudikan kehidupan, masa depannya serta mengorbankan cintanya pada Tuah demi menjaga darjat Tuah dan memenuhi kesetiaan Tuah pada Sultan Melaka. Dalam konteks ini Tuah kejam bukan?

Cuma satu yang kuharapkan, moga lelaki Melayu zaman millenium ini takkan mengikut jejak langkah dan sifat Tuah yang satu itu. Hati wanita bukan untuk disakiti, untuk diperkotak-katikkan, untuk diberikan mimpi-mimpi yang tak pasti…tetapi hati wanita yang lembut dan penuh kasih sayang ini adalah untuk dikasihi, disayangi, dibelai dan dilindungi kerana wanita dijadikan dari tulang rusuk lelaki. Bukan di kepala untuk disanjung atau bukan juga di tapak kaki untuk dipijak.

0 comments on "Hang Tuah dari Kaca Mata Aku"

 

.T.e.n.t.a.n.g.A.k.u.D.a.n.D.i.a. Copyright © 2009 Paper Girl is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal